Berita Terkini
Span Aktif Pantau Kilang Kelapa Sawit Sekitar Sungai Keratong Di Musim Perayaan
Bagi meminimumkan risiko pencemaran terhadap sumber air yang boleh menyebabkan gangguan bekalan air bersih, Bahagian Penguatkuasaan SPAN telah bertindak membuat pemeriksaan mengejut dan pemantauan di lokasi-lokasi panas yang dikenal pasti di sekitar Sungai Keratong.
Sepanjang rondaan dan pemeriksaan Bahagian Penguatkuasaan SPAN mendapati terdapat beberapa pemilik industri telah menaik taraf sistem kawalan terhadap sisa-sisa industri sebagai langkah untuk mengatasi dan mengawal sisa-sisa kelapa sawit dari terlepas ke sumber air sekaligus menjadi penyumbang kepada insiden gangguan bekalan air.
Pemilik premis yang beroperasi di sekitar lembangan sungai utama dan berhampiran Loji Rawtaan Air diingatkan supaya sentiasa memantau operasi premis agar insiden pencemaran terhadap sumber air dan alam sekitar dapat dielakkan daripada berlaku.
Pencemar juga boleh disiasat dibawah Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 yang memperuntukan hukuman penjara dan denda bagi kesalahan mengenai pencemaran air.
Orang ramai dipohon untuk memaklumkan kepada operator air dan pembetungan anda sekiranya terdapat sebarang kegiatan mencurigakan yang anda syaki berkaitan aktiviti mencemarkan bekalan air.
Sebarang aduan atau maklumat berkenaan pencemaran para pengguna boleh menghubungi secara WhatsApp di talian 013-3885000 atau e-mel ke aduan@span.gov.my