Berita Terkini
Bengkel Pengurusan Pentadbiran Kontrak Kerajaan Siri 2
YAB Dato' Sri Haji Fadillah bin Haji Yusof, Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri PETRA telah hadir ke sesi Bengkel Pengurusan Pentadbiran Kontrak Siri 2 dan menyampaikan amanat kepada para peserta bengkel. YAB TPM dalam amanatnya telah memberikan penekanan kepada para pegawai yang terlibat di dalam perolehan kerja dan pengurusan kontrak untuk memastikan semua prosedur kontrak dipatuhi dan dokumen berkaitan diuruskan dengan lengkap dan teratur supaya tidak berlaku pertikaian di antara pihak kontraktor dengan Kerajaan. Turut sama hadir ke sesi bengkel tersebut ialah YB Tuan Haji Akmal Nasrullah bin Mohd Nasir, Timbalan Menteri PETRA.
Sesi bengkel ini telah dimulakan dengan ceramah daripada Penasihat Undang-Undang Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) bertajuk Perkara/Isu/Punca Yang Menjadi Pertikaian Dalam Pentadbiran Kontrak Kerja dan diikuti oleh ceramah daripada YBhg. Sr. Datuk Amran bin Haji Mohd Majid yang merupakan mantan Timbalan Ketua Pengarah Kerja Raya (Sektor Pakar) dengan tajuk Penamatan dan Tuntutan Gantirugi. Sesi petang diteruskan dengan perkongsian pengalaman daripada firma guaman Tetuan Hisham, Sobri dan Kadir mengenai kes-kes pertikaian dalam pengurusan projek kerja yang telah dibicarakan di mahkamah. Bengkel pada hari ini telah dihadiri oleh seramai 332 peserta yang terdiri daripada wakil-wakil Kementerian dan jabatan.
Sesi penutup bengkel telah disempurnakan oleh YBhg. Dato’ Haji Mad Zaidi bin Mohd Karli, Ketua Setiausaha PETRA. Justeru, pegawai-pegawai yang terlibat di dalam pengurusan pentadbiran kontrak perlu sentiasa meningkatkan kompetensi masing-masing melalui latihan yang berterusan.