Berita Terkini
Lawatan Kerja ke Projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Alor Gajah Fasa 1, Melaka
YAB Dato' Sri Haji Fadillah Bin Haji Yusof, Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) bersama-sama YAB Ketua Menteri Melaka turut meluangkan masa turun padang bagi membuat pemantauan secara dekat ke Projek Rancangan Tebatan Banjir Alor Gajah Fasa 1 daerah Alor Gajah, Melaka.
Projek yang bernilai RM30 juta ini telah mula dilaksanakan sejak Ogos 2022 dan dijangka siap pada Ogos 2025.
Melalui pelaksanaan projek ini, seluas 418 hektar dan dianggarkan seramai 1,275 penduduk di kawasan persekitaran akan terhindar dari risiko bencana banjir.
Secara langsung, projek ini dijangka dapat meningkatkan semula aktiviti sosio-ekonomi serta menjamin kelangsungan perhubungan penduduk setempat di samping mengurangkan kerugian harta benda, kemudahan awam dan kehilangan nyawa akibat banjir.
Kerajaan Persekutuan sentiasa prihatin dan cakna dalam memastikan kelestarian pelaksanaan projek-projek Kerajaan untuk memastikan impak yang maksima demi kesejahteraan rakyat dan merangsangkan ekonomi Melaka.