Berita Terkini
Mesyuarat Majlis Bersama Jabatan (MBJ) PETRA Bil 1 Tahun 2024
Mesyuarat Majlis Bersama Jabatan (MBJ), Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) Bilangan 1 Tahun 2024 telah berlangsung di Bilik Mesyuarat Amber, Menara PETRA pada 19 Disember 2024 dipengerusikan oleh YBhg. Dato' 'Haji Mad Zaidi bin Mohd Karli, Ketua Setiausaha (KSU) PETRA.
Mesyuarat ini merupakan medium komunikasi dua hala antara pihak pekerja dengan pihak pengurusan bagi menyuarakan pendapat, pandangan serta menyumbangkan idea-idea yang bernas demi kepentingan dan kebaikan organisasi.
Dalam ucapannya YBhg. KSU menekankan tentang kepentingan untuk menyemarakkan pembudayaan keseronokan bekerja di PETRA bagi mewujudkan warga dan organisasi yang sejahtera serta berprestasi tinggi. Keseronokan bekerja merupakan salah satu elemen dalam Agenda Reformasi Perkhidmatan Awam 2024-2030 di bawah Bidang Keberhasilan Reformasi 3.
Beberapa usul pihak pekerja dalam pelbagai aspek seperti kebajikan, kemudahan, pentadbiran dan sumber manusia telah dibentang dan dibincangkan dalam mesyuarat ini. Turut hadir ke mesyuarat ini adalah Setiausaha Bahagian Kanan (Pengurusan) dan Setiausaha-Setiausaha Bahagian serta ahli-ahli Pihak Pekerja yang mewakili pelbagai gred jawatan dan skim perkhidmatan.