Berita Terkini
Transformasi Air Negara melalui AIR 2040
Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) kini memperkenalkan Pelan Hala Tuju Transformasi Air 2040 (AIR 2040), yang bertujuan mentransformasi sektor air negara menjadi lebih mampan, cekap, dan berdaya saing. Perkara ini dibincangkan dalam sesi wawancara Bicara Naratif RTM bersama YB Tuan Haji Akmal Nasrullah Mohd Nasir, Timbalan Menteri PETRA, yang berlangsung pada 17 Disember 2024 di Studio N1, Wisma Berita, Angkasapuri.
Menurut YB Tuan Haji Akmal Nasrullah, pelan ini menggariskan langkah-langkah strategik bagi menghadapi cabaran seperti perubahan iklim, pencemaran, dan peningkatan permintaan sumber air. Antara fokus utama adalah, Peningkatan infrastruktur air yang usang, Penggunaan teknologi pintar (IR4.0), Pengurangan air tidak terhasil kepada 10% menjelang 2040 dan Pengurusan sumber air bersepadu (IWRM).
Pelan ini juga berfungsi sebagai pendorong pertumbuhan ekonomi negara melalui pembangunan sektor air sebagai industri bernilai tinggi.
Dengan kerjasama erat antara kerajaan, sektor swasta, NGO, dan rakyat, AIR 2040 diharapkan dapat menjadikan Malaysia sebagai hab industri air serantau menjelang 2040.