Berita Terkini
Mesyuarat Pertama Jawatankuasa Khas Menangani Kemerosotan Kualiti Air Sungai Kebangsaan
YAB Dato' Sri Haji Fadillah Haji Yusof, Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) telah mempengerusikan Mesyuarat Pertama Jawatankuasa Khas Menangani Kemerosotan Kualiti Air Sungai Kebangsaan (JKKAS) di Pusat Persidangan Antarabangsa Putrajaya (PICC) hari ini, 6 Jun 2024 (Khamis).
Mesyuarat ini merupakan susulan keputusan YAB Perdana Menteri semasa mempengerusikan Mesyuarat Majlis Air Negara Kelima (MAN-5).
Jawatankuasa Khas ini berperanan dalam memastikan langkah-langkah dan tindakan pengurusan pelaksanaan strategi meningkatkan kualiti air sungai diambil secara bersepadu selain bertindak sebagai platform perkongsian maklumat dan amalan terbaik berkaitan perkara-perkara yang boleh meningkatkan kualiti air sungai.
Mesyuarat juga dihadiri oleh YB Datuk Amar Dr Sim Kui Hian, Timbalan Premier Sarawak; YB Datuk Phoong Jin Zhe, Menteri Pembangunan Perindustrian & Keusahawanan Sabah; YB Tuan Haji Akmal Nasrullah bin Mohd Nasir, Timbalan Menteri PETRA; YBhg. Dato' Haji Mad Zaidi bin Mohd Karli, Ketua Setiausaha PETRA serta YBhg. Dato' Mohd Rodzwan bin Mohd Baba Sakri, Timbalan Ketua Setiausaha (Sektor Air) Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA).