Berita Terkini
Majlis Peluncuran Loji Janakuasa Solar Hibrid di Cypark Solar Merchang, Terengganu
YAB Dato' Sri Haji Fadillah Haji Yusof, Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) telah menghadiri Majlis Peluncuran Loji Janakuasa Solar Hibrid mengiringi YAB Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim yang juga merasmikan Majlis Peluncuran ini bertempat di Cypark Solar Merchang, Terengganu pada 10 Julai 2024 (Khamis).
Loji janakuasa solar hibrid di Merchang ini terdiri daripada kombinasi 35MW solar terapung dan 65MW solar atas tanah merupakan pemasangan solar hibrid terbesar di Malaysia dan memainkan peranan utama dalam menyokong grid tenaga negara dengan tenaga bersih dan lestari. Kuasa elektrik yang dijana dari Merchang ini mampu membekalkan tenaga kepada lebih 50,000 isi rumah.
Loji Janakuasa Solar Hibrid 100MW LSS3 ini membantu mempercepatkan peralihan negara ke arah tenaga hijau selain menyumbang kepada kualiti hidup yang lebih baik untuk rakyat Malaysia.
Dua sesi pertukaran dokumen juga telah diadakan pada majlis ini. Sesi pertama melibatkan pertukaran dokumen antara TNB Power Generation Sdn Bhd dan Terengganu Incorporated Sdn Bhd berhubung kajian kebolehlaksanaan untuk membangunkan Solar Fotovoltaik Terapung (FSPV) di sekitar Stesen Janakuasa Hidroelektrik dan Empangan TNB Kenyir.
Sesi kedua pula melibatkan pertukaran dokumen antara Cypark Resources Berhad, Terengganu Incorporated Sdn Bhd, dan Jakel Capital Sdn Bhd dengan matlamat bersama untuk turut serta dan meneroka peluang dalam pembangunan Loji Tenaga Solar Fotovoltaik Terapung di Tasik Kenyir, Terengganu.
Hadir sama, Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar serta YBhg. Dato' Haji Mad Zaidi bin Mohd Karli, Ketua Setiausaha PETRA.