Berita Terkini
Majlis Perhimpunan Bulanan PETRA Bil. 2 Tahun 2024
YAB Dato' Sri Haji Fadillah Haji Yusof, Timbalan Perdana Menteri Merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) telah menyampaikan amanat pada Majlis Perhimpunan Bulanan PETRA Bil. 2 Tahun 2024 pada 6 Mei 2024 (Isnin) bertempat di Dewan Baiduri, Menara PETRA, Putrajaya.
Dalam amanat beliau, YAB TPM telah menyentuh berkenaan Kajian Sistem Saraan Perkhidmatan awam dan pengumuman kenaikan gaji penjawat awam yang telah dibuat oleh YAB Perdana Menteri Malaysia semasa Sambutan Hari Pekerja 1 Mei 2024.
Selaras pesanan YAB Perdana Menteri, sistem lama perlu diteliti semula dan berfikir di luar kotak untuk menangani ketirisan dalam sistem perolehan.
YAB TPM juga menyeru agar semua pegawai PETRA lebih cakna dan memahami isu serta masalah yang dialami di lapangan. Ini adalah bagi memudahkan cara pelaksanaan program dan projek berkaitan sektor tenaga dan sektor air untuk kepentingan rakyat.
Penjawat awam, khususnya warga PETRA juga perlu menjadi agen Kerajaan dalam menyampaikan maklumat yang benar dan sahih mengenai isu-isu utama Kerajaan, selari dengan itu YAB TPM turut berkata, penjawat awam haruslah menjadi agen perpaduan dan bukannya agen perpecahan dan perbalahan.
Selain itu, dalam usaha merapatkan hubungan silaturrahim diantara warga PETRA, Bahagian Khidmat Pengurusan sedang dalam usaha untuk menubuhkan Kelab Kebajikan dan Sukan PETRA. Aktiviti-aktiviti sukan ini dilihat dapat mendukung Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS) dan menjadikan warga PETRA sentiasa sihat dan bertenaga. PETRA juga kini aktif menjalankan aktiviti spiritual seperti kuliah Zohor, bacaan Yasin bulanan, ihya’ ramadan dan sebagainya bagi memenuhi keperluan spiritual warga PETRA.
YAB TPM juga menyampaikan ucapan tahniah kepada warga PETRA yang telah terpilih menunaikan Ibadah Haji pada tahun ini dan mendoakan keberangkatan pergi dan pulang para jemaah agar selamat dan dipermudahkan.
Turut hadir, YB Tuan Haji Akmal Nasrullah bin Mohd Nasir, Timbalan Menteri PETRA, YBhg. Dato’ Haji Mad Zaidi bin Mohd Karli, Ketua Setiausaha PETRA, YBhg. Dato’ Mohamad Razif bin Haji Abdul Mubin, Timbalan Ketua Setiausaha (Tenaga) PETRA.