Latar Belakang & Peranan

Susulan rombakan kabinet pada Disember 2023, Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) telah ditubuhkan bagi menerajui tadbir urus bekalan elektrik dan air yang mampan serta inklusif dalam menjamin kesejahteraan rakyat dan negara. 

Kementerian ini telah diwujudkan pada 12 Disember 2023 sebagai Kementerian Peralihan Tenaga dan Daya Guna Awam (KPTDGA). Pada 8 Februari 2024, Mesyuarat Jemaah Menteri telah meluluskan perubahan nama Kementerian sebagai Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) bagi menggambarkan peranan sebenar dan tanggungjawab Kementerian dalam usaha mentransformasi bidang tenaga dan air Negara.  

PETRA dipilih sebagai akronim kementerian dengan Peralihan Tenaga dizahirkan secara simbolik pada tiga huruf pertama (PET), manakala Transformasi Air juga dizahirkan secara simbolik melalui tiga huruf terakhir akronim berkenaan (TRA).

YAB Dato’ Sri Haji Fadillah bin Haji Yusof, Timbalan Perdana Menteri merupakan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air pertama dan YB Tuan Haji Akmal Nasrullah bin Mohd Nasir adalah Timbalan Menteri PETRA sejak penubuhan Kementerian ini. Barisan kepimpinan pentadbiran awam PETRA dipimpin oleh YBhg. Dato’ Haji Mad Zaidi Bin Mohd Karli, Ketua Setiausaha PETRA.

ATAS