Majlis Berbuka Puasa YAB Menteri Bersama Warga PETRA

Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) telah mengadakan Majlis Berbuka Puasa YAB Menteri bersama Warga PETRA di Dewan Baiduri, Menara PETRA petang tadi.
Majlis dimulakan dengan alunan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran oleh Qari jemputan Ustaz Syamsul bin Abu Hasan Al-Shaari daripada Bahagian Perkhidmatan Air dan Pembetungan (BPAP) sebelum majlis menyantuni anak-anak yatim dari Pusat Jagaan Amal Asyura, Sungai Buloh Selangor yang terdiri daripada 36 orang anak yatim dan 7 orang penjaga. Sumbangan dengan kerjasama Puspanita PETRA, Kelab PETRA dan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) ini berupa wang tunai dan barangan keperluan asas untuk pusat jagaan tersebut.
Dalam majlis sama, seramai 10 orang kakitangan Indah Water Konsortium (IWK) menerima Zakat Wakalah dari Pusat Pungutan Zakat (PPZ), ini kerana IWK pertama kalinya pada tahun 2024 telah membuat bayaran Zakat Perniagaan kepada PPZ Wilayah Persekutuan.
Perkongsian ilmu bertajuk “Penat Di Sini, Rehat Di Sana” oleh Al Fadhil Ustaz Mohd Salman bin Idrus, Penolong Pengarah Kanan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dijadikan takzirah Ramadan sebelum berbuka puasa.
Turut hadir sama ialah YB Tuan Haji Akmal Nasrullah bin Mohd Nasir, Timbalan Menteri PETRA, YBhg. Dato’ Haji Mad Zaidi bin Mohd Karli, Ketua Setiausaha PETRA, serta Pengurusan Tertinggi PETRA.