Operasi Pemeriksaan Perangkap Gris di Premis Makanan oleh SPAN, Melaka
Meneruskan perjalanan sekitar Melaka, PETRA Skuad telah membuat perhentian ke Ayer Keroh bagi operasi Pemeriksaan penggunaan perangkap gris di premis makanan oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN).
YAB Dato' Sri Haji Fadillah Bin Haji Yusof, Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) turut meninjau keadaan premis tersebut serta berinteraksi untuk mendapatkan maklumat lanjut berkaitan pemasangan ’grease trap’ dan keadaan kebersihan pembentung di premis tersebut, sama ada premis tersebut selamat untuk dikunjungi oleh orang ramai ataupun tidak.
Grease trap atau perangkap gris adalah alat yang berfungsi untuk memisahkan minyak dan lemak daripada air buangan di dapur komersial atau industri, seperti restoran, hotel dan kilang makanan.
Kegagalan menyelenggara ’grease trap’ boleh mengakibatkan pencemaran dan menyebabkan tindakan penguatkuasaan daripada pihak berkuasa.
Kebanyakan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) telah mewajibkan premis yang terlibat dalam perniagaan makanan dan minuman menggunakan grease trap. Peraturan ini bertujuan untuk mencegah penyumbatan sistem pembetungan awam dan pencemaran air.
Secara amnya, penggunaan ’grease trap’ adalah sebahagian daripada syarat perlesenan perniagaan makanan dan minuman dan penguatkuasaan ini berbeza mengikut negeri atau kawasan PBT masing-masing.