Forum Air Dunia
BALI, 19 Mei- Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Datuk Seri Fadillah Yusof akan menyampaikan kenyataan Malaysia pada Forum Air Dunia (WWF) kali ke-10 di sini, Indonesia.
Fadillah berkata, forum berkenaan penting bagi mencari kaedah terbaik negara dalam menangani cabaran air bersama negara-negara terlibat.
"Sudah pasti setiap negara akan ada cabaran tersendiri dan cara mengatasinya.
"(Jadi) forum ini sangat penting untuk kita bertukar pandangan, fikiran, dan mempelajari pembangunan serta cabaran di negara lain dari segi teknologi dan penyelesaian masalah air. Sama ada kekurangan air, bekalan air bersih, atau menangani lebihan air.
"Di Malaysia, kita juga menghadapi isu yang sama. Ada tempat yang mempunyai banyak air dan ada yang kurang air. Isu-isu ini perlu ditangani secara bersama," katanya kepada media Malaysia hari ini.
Fadillah yang mengetuai delegasi Malaysia berada di Bali bermula hari ini hingga 21 Mei atas jemputan Presiden Indonesia, Joko Widodo.
WWF diadakan setiap tiga tahun dianjurkan bersama oleh Majlis Air Dunia (WWC) dan negara tuan rumah, dengan tema kali ini "Air untuk Kemakmuran Bersama".
Sumber: Berita RTM