Majlis Perasmian Sambutan Hari Sungai Sedunia Peringkat Kebangsaan 2024, Sungai Tebrau, Johor
YAB Dato’ Sri Haji Fadillah bin Haji Yusof Timbalan Perdana Menteri, merangkap Menteri PETRA hari ini telah merasmikan Sambutan Hari Sungai Sedunia (HSS) Peringkat Kebangsaan Tahun 2024 anjuran Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) di Sungai Tebrau, Johor Bahru, Johor.
HSS ini disambut dengan tujuan memberikan kesedaran kepada masyarakat betapa pentingnya penjagaan kebersihan dan kemampanan sungai.
HSS ini juga memberikan tumpuan kepada perlindungan sungai, pemuliharaan air serta usaha bagi mengurangkan pencemaran sungai, sesuai dengan tema yang dipilih iaitu "Sungai dan Alur dalam Komuniti kita". Tema ini menunjukkan betapa sungai dan masyarakat saling memerlukan di antara satu sama lain.
Beberapa aktiviti menarik seperti Sukan Rakyat juga telah dipertandingkan antaranya, pertandingan menangkap ayam, pertandingan mewarna bagi kanak-kanak, perlumbaan ????? ????, H2O quest, aktiviti membersihkan sekitar kawasan sungai dan macam-macam lagi.
YAB TPM yang juga Menteri PETRA turut meluangkan masa melawat reruai tapak jabatan dan agensi di bawah PETRA yang berada sekitar kawasan program tersebut.
Hadir sama YB Tuan Haji Akmal Nasrullah bin Mohd Nasir, Timbalan Menteri PETRA; YBhg. Dato’ Haji Mad Zaidi bin Mohd Karli, Ketua Setiausaha PETRA; YBhg. Mejar (Kehormat), Dato' Ir Dr. Hj Ahmad Anuar Othman, Ketua Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran Malaysia serta YBhg. Dato' Mohd Rodzwan bin Mohd Baba Sakri, TKSU (Air) PETRA.