Majlis Perhimpunan Bulanan PETRA Bil 4 Tahun 2024 di Menara PETRA, Putrajaya
YB Tuan Haji Akmal Nasrullah bin Mohd Nasir Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) telah memberikan ucaptama bagi Majlis Perhimpunan Bulanan PETRA Bilangan 4 Tahun 2024 mewakili YAB Dato' Sri Haji Fadillah Haji Yusof, Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri PETRA di Dewan Baiduri, Menara PETRA, hari ini.
YBTM PETRA membuka ucapan beliau dengan mengucapkan selamat menyambut Tahun Baru Hijrah 1446 serta bagaimana konsep Al-Falah telah diangkat menjadi tema dalam konteks bekerja.
Beliau turut menyampaikan ucapan tahniah kepada semua yang terlibat dalam Kejohanan Badminton Berpasukan Piala CEO SEDA 2024 yang diadakan baru-baru ini pada 6 Julai 2024. Sebanyak 7 pasukan telah menyertai iaitu, ST, PAAB, JPP, SEDA, Single Buyer, NAHRIM dan PETRA; dan daripada 7 pasukan ini, PETRA muncul juara.
PETRA juga telah menyahut Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS) dengan mengadakan Program Brisk Walk PETRA pada 28 Jun 2024 yang disertai oleh pengurusan tertinggi PETRA, warga PETRA serta jabatan dan agensinya. YBTM juga mengucapkan tahniah atas semua yang terlibat kerana menjayakan program ini.
YBTM juga menekankan agar semua pihak memandang serius akan teguran daripada LKAN berkenaan teguran audit bagi isu Pengurusan Air Negara dan melakukan tindakan mitigasi dan pembetulan dengan pantas.
Beliau juga telah menyentuh berkenaan Mesyuarat Jawatankuasa Khas Menangani Kemerosotan Kualiti Air Sungai Kebangsaan (JKKAS) susulan keputusan YAB Perdana Menteri semasa mempengerusikan Mesyuarat Majlis Air Negara Kelima (MAN-5). YBTM menyeru agar jawatankuasa yang terlibat memastikan tindakan pengurusan strategik di setiap peringkat dalam meningkatkan kualiti air sungai secara bersepadu.
Majlis Tandatangan dan Bacaan Ikrar Aku Janji turut diadakan yang mana melibatkan 15 buah syarikat yang telah menerima SST daripada Jabatan Pengairan dan Saliran bagi melaksanakan projek-projek di bawah RMKe-12. Beliau turut menyatakan harapan agar penerima SST melaksanakan amanah yang diberi sebaik mungkin.
Beliau juga menyampaikan ucapan tahniah terhadap semua pihak yang terlibat dalam penggubalan RUU terutama Sektor Tenaga, PETRA dan Suruhanjaya Tenaga selain kenyataan rasmi Kementerian bagi “Tiada Kenaikan Tarif Elektrik di Semenanjung Bagi Tempoh 1 Julai Hingga 31 Disember 2024.
Akhir sekali, beliau juga mengucapkan tahniah kepada kepimpinan baharu Ahli Jawatankuasa Tertinggi Kelab Sukan dan Kebajikan PETRA bagi tahun 2024-2026. YBTM PETRA berharap agar pasukan ini dapat meletakkan satu penanda aras yang tinggi dalam pengurusan dan penganjuran aktiviti-aktiviti Kelab pada masa akan datang.
Hadir sama, YBhg. Dato' Haji Mad Zaidi bin Mohd Karli, Ketua Setiausaha PETRA; YBhg. Dato' Mohamad Razif bin Haji Abdul Mubin TKSU (Tenaga) PETRA; YBhg. Dato' Mohd Rodzwan bin Mohd Baba Sakri, TKSU (Sektor Air) PETRA serta YBrs. Encik Mohd Norhisham bin Musa SUBK (Pengurusan) PETRA.