Taklimat Projek Vantage RE Ltd di London
YAB Dato' Sri Haji Fadillah Haji Yusof, Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) telah diberikan taklimat oleh Ketua Pegawai Eksekutif Vantage RE, Vian Davys dan Ketua Pegawai Komersialnya, Charmaine Chin berkenaan projek Vantage RE Ltd iaitu sebuah anak syarikat milik penuh Tenaga Nasional Berhad (TNB) dalam perniagaan Tenaga Boleh Baharu (TBB) pada 24 Jun 2024 (Isnin) di Intercontinental London Park Lane.
Vantage RE telah ditubuhkan pada 2021 untuk memiliki, mengendalikan, membangun dan mengurus portfolio aset RE di UK dan Eropah sebagai sebahagian daripada komitmen global TNB terhadap alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG).
TNB kini mempunyai lebih daripada 800 Megawatt (MW) aset TBB yang sedang beroperasi dan 400 MW yang sedang dalam pembangunan dan pembinaan terdiri daripada projek tenaga suria, angin darat dan luar pesisir merentasi UK.
Penerokaan TNB melalui Vantage RE Ltd dalam TBB dapat menimba pengalaman United Kingdom (UK) sekaligus memacu Peralihan Tenaga (ET) Malaysia.
Kerajaan menyasarkan penggunaan TBB sebanyak 40 peratus dalam campuran bahan api negara menjelang 2035 di Malaysia dan dijangka dapat mengurangkan penghasilan gas karbon dioksida (CO2) sebanyak 10 juta tan setahun, PETRA menyasarkan peningkatan kapasiti TBB dalam campuran bahan api sehingga 70 peratus pada 2050.
Hadir sama, Timbalan Ketua Setiausaha (Tenaga) PETRA, YBhg. Dato' Mohamad Razif bin Haji Abdul Mubin; Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Suruhanjaya Tenaga (ST), YBhg. Dato’ Ir Ts Abdul Razib Dawood dan Pengarah Urusan TNB Genco, Ir. Muhamad Nazri bin Pazil.